KUCHING : Sarawak kini mempunyai aplikasi ‘Property Axis’, iaitu satu pasaran hartanah yang menyediakan data secara terbuka serta boleh dimuat naik di ‘App Store’.
Property Axis secara rasminya akan menjadi portal hartanah pertama berpangkalan di Sarawak yang dicipta khusus untuk platform aplikasi mudah alih.
Property Axis ini menggabungkan beberapa nilai Karuna iaitu agensi reka bentuk web dan digital di negara ini yang beribu pejabat di sini.
Agensi ini membawa reka bentuk terbaik dengan inovasi teknologi yang membolehkan pengalaman mesra pengguna untuk mengubah perniagaan, meningkatkan pengalaman dan meningkatkan kehidupan.
Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi berkata, platform aplikasi ‘Property Axis’ itu adalah sejajar usaha Sarawak kini beralih ke arah pendigitalan ekonomi.
“Dengan ada aplikasi seperti ini, ia akan membantu Sarawak mencapai visi menjadi sebuah negeri maju dengan ekonominya berkembang maju didorong data dan inovasi menjelang 2030.
“Peranan pendigitalan ekonomi amat penting sekali, kerana kebolehan mencipta aplikasi seperti yang diusahakan oleh Karuna bersama dengan
Sistem Maklumat Sarawak Sdn Bhd (SAINS) adalah merupakan satu langkah yang tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Property Axis di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.
Platform Property Axis ditubuhkan pada 2021 dan menjalin kerjasama SAINS di mana aplikasi ini diletakkan di bawah aplikasi gaya hidup S Pay Global, iaitu platform Fintech Kerajaan Sarawak, yang mempunyai seramai 670,000 pengguna.
Julaihi berkata, aplikasi itu akan menjadikan Sarawak sebagai pasaran hartanah yang boleh dipercayai dan seterusnya membantu pengguna untuk membeli hartanah yang terdapat di Sarawak.
Majlis ini turut melancarkan Property Axis Prime yang merupakan aplikasi yang saling melengkapi bagi pemaju hartanah dan ejen hartanah.
Fungsi aplikasi tersebut adalah untuk meningkatkan perniagaan perumahan dan hartanah komersial mereka sambil menguruskan penyenaraian untuk dijual dan disewa melalui laman web dan aplikasi mudah alih.
Yuran pengiklanan dan yuran penyenaraian akan dikenakan caj pembayaran sebaik sahaja promosi langganan percuma tamat pada 31 Mac 2023.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Karuna Sarawak dan Property Axis Sdn Bhd, Melvin Ong berkata, organisasinya sangat teruja untuk membentangkan aplikasi ini.
Katanya, ini membolehkan pembeli hartanah membeli hartanah mereka menggunakan analisis data melalui fasa pertama diikuti dengan penyewaan untuk pembeli dalam fasa kedua yang disasarkan untuk tahun depan.
“Kami juga akan memanjangkan Property Axis kepada pemilik rumah untuk menawarkan perkhidmatan rumah mereka.
“Kami berharap pelancaran produk ini akan menggalakkan rakyat Malaysia dan yang bukan rakyat Malaysia untuk melabur dalam pasaran hartanah Sarawak yang berkembang pesat dan mengembangkan ekonomi negeri,” katanya.