Portal Property Axis aplikasi pasaran hartanah digital pertama di Sarawak
By Haizol Rizal from Sarawak News Network
January 15, 2023
KUCHING, 15 JANUARI 2022 (SNN) : Sarawak kini mempunyai aplikasi ‘Property Axis’, satu pasaran hartanah yang menawarkan pengesyoran hartanah berdasarkan analitik data besar daripada data sumber ramai dan terbuka.
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, Sarawak kini beralih ke arah pendigitalan ekonomi dan dengan adanya aplikasi seperti ini, membantu Sarawak mencapai visi menjadi sebuah negeri maju dengan ekonominya berkembang maju didorong data dan inovasi menjelang 2030.
“Peranan pendigitalan ekonomi amat penting sekali, kerana kebolehan mencipta aplikasi seperti yang diusahakan oleh Karuna Sarawak bersama dengan SAINS adalah merupakan satu langkah yang tepat.
“Usaha ini akan membantu Sarawak lebih maju ke hadapan dalam pendigitalan ekonomi serta membantu membangunkan lebih banyak aplikasi pada masa akan datang dalam mencapai visi Sarawak menjadi wilayah maju menjelang 2030,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran aplikasi pasaran hartanah pertama di Sarawak, Property Axis di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Sabtu.
Property Axis telah dicipta oleh sebuah syarikat teknologi digital terkemuka di Malaysia iaitu Karuna Sarawak dengan membawa rekabentuk terbaik dengan inovasi teknologi yang mesra pengguna.
Selain itu, platform ini juga menjalin kerjasama dengan Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS) di mana aplikasi ini diletakkan di bawah aplikasi gaya hidup S Pay Global, iaitu platform Fintech Kerajaan Sarawak yang mempunyai seramai 670,000 pengguna.-UKAS.